Pokok ini berasal dari India dan ia tumbuh liar di kawasan utara India tetapi ditanam juga sejak dahulu kala. Kini pokok ini banyak ditanam dipelbagai kawasan Tropika dan Subtropika. Buah muda, buah matang yang belum keras dan daun merunggai sering dibuat lauk, biasanya dimasak kari atau digoreng seperti sayur. Buah merunggai biasanya dikaitkan dengan orang India kerana kaum India yang biasa menanam pokok merunggai. Di India, kari merungggai di tin dan dieksport. Biji muda merunggai boleh dimasak seperti kacang pea dan bijinya yang matang juga dipangggang seperti kacang goreng. Orang Filipina juga memakan dan menanam merunggai. Orang Bahamas dan Jamaica meminum air rebusan daun merunggai seperti meminum teh atau kopi.
Akar merunggai mengandungi sejenis glukosit yang menghasilkan rasa pedas seperti biji sawa atau lobak putih. Akar merunggai boleh dibuat sos seperti sos lobak kuda yang tulin. Ranting, daun, bungan dan buah juga boleh digunakan sebagai perisa tetapi tidak kuat seperti akar. Merunggai mempunyai pelbagai kegunaan dalam perubatan tradisional. Daun merunggai dikatakan boleh mengubati buah dada yang bengkak, terutama dikalangan ibu yang baru bersalin. Akarnya ditumbuk dan disapu kepada perut inu yang baru bersalin sebagai bebat memulihkan badan ibu. Makanan dari daun dan buah merunggai boleh bertindak sebagai pelawas sembelit. Daun dan akar merunggai dikatakan boleh mengubati sifilis dan busung darah. Sementara daunnya dimakan untuk mengubati penyakit gonorea. Walau bagaimanapun terlalu banyak memakan akar merunggai dikatakan boleh menggugurkan anak dalam kandungan.
Dalam perubatan India, akar merunggai digunakan sebagai ubat sapu pada bengkak atau bisul yang dalam. Sementara daunnya digunakan sebagai penawar gigitan anjing, muntah-muntah dan untuk mengurangkan aliran susu ibu. Di Jawa, akar merunggai digunakan untuk mengubati rasa kebas, penyakit beri-beri dan pelbagai penyakit kulit. Batang pokok yang luka akan mengeluarkan sejenis gam yang berguna sebagai ubat di India dan Jawa. Orang India menggunakannya untuk mengubati kelenjar yang bengkak dan orang Jawa menggunakannnya untuk mengubati sakit usus. Di kawasan Amerika Tengah terutama di Curacao, akar merunggai di cuci bersih dan cecair dalam akar dihisap dan ia dikatakan boleh menjadi penawar selesema. Di sesetengah negara lain, kulit dan akar yang dihancurkan dijadikan ubat sapu, bijinya dibancuh seperti teh dan diminum untuk melegakan demam panas dan juga sebagai pelawas buang air besar.
Ada juga yang menggunakan akar kering sebagai penawar untuk mengubati penyakit malaria dan penyakit buah pinggang. Orang Puerto Rico memakan daun merunggai sebagai pelawas buang air besar. Di Bahamas, air rebusan bunga merunggai dicampur dengan limau nipis sebelum diminum juga untuk sebagai pelawas buang air besar. Orang Aruba menghancurkan biji merunggai dan menyapukannya pada badan yang ada ketuat untuk menghilangkan ketuat itu. Di Venezuela, air rebusan daun dan biji merunggai boleh diminum sebagai julap dan untuk mengeluarkan cacing yang ada di dalam perut dan usus. Orang Curacao merendam akar yang telah dihancurkan didalam rum dan digunakan sebagai ubat sapu bagi menyembuhkan sakit otot jenis reumatisme.
Buah merunggai juga mempunyai kegunaan dalam istiadat kepercayaan tradisional iaitu bagi menghalau hantu. Jika ada orang yang dirasuki hantu, kepalanya atau badannya disebat dengan merunggai segar untuk menghalau hantu keluar dari badan mangsa dan meninggalkan tempat itu. Biji merunggai didapati mengandungi minyak yang boleh digunakan untuk memasak, membuat sabun dan sebagai minyak pelincir mesin. Ia juga adalah digunakan sebagai minyak asas bagi minyak wangi. Minyak ini sesuai untuk campuran salad dan ia jernih dan tidak berbau. Minyak ini jika terbakar akan mengeluarkan api yang terang dan tidak berasap.
Walau bagaimanapun, kegunaan merunggai sebagai bahan ubatan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Kulit kayu merunggai mengandungi B-sitosterol dan beberapa jenis alkaloid. Daun segar yang dihancurkan dan disapu pada kulit jika berlebihan akan menyebabkan kulit berasa gatal dan di peringkat yang ekstrem boleh melecurkan kulit.